KUALA LUMPUR: Hampir dua bulan berlalu sejak pemergian Tavaneswary Mohan, 20, namun keluarga pelajar kolej itu masih dihantui persoalan yang tidak terjawab.
Bagi ibu bapa mendiang, kehilangan anak sulung mereka bukan sahaja meruntun jiwa, tetapi turut menimbulkan luka yang lebih dalam apabila punca sebenar kematian masih samar dan penuh tanda tanya.
“Setiap hari kami bangun dengan soalan yang sama, apa sebenarnya yang berlaku pada anak kami?
“Kami hanya mahu kebenaran, tidak lebih dari itu,” luah keluarga selepas menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.
Tavaneswary ditemui meninggal dunia pada 2 Julai lalu dan kes pada awalnya dilaporkan sebagai bunuh diri.
Namun, maklumat yang dikongsi keluarga serta rakan-rakan mendiang menimbulkan keraguan, termasuk dakwaan bahawa beliau pernah dibuli sebelum tragedi tersebut.
EXCO Angkatan Muda Keadilan, Gopiraj Nair Nagarajan yang turut mengiringi keluarga tersebut berkata, penantian ibu bapa mendiang semakin berat apabila laporan penuh bedah siasat masih belum dikeluarkan sehingga kini.
“Mereka tidak mencari salah sesiapa, hanya mahu keadilan untuk anak mereka.
“Kebenaran itu penting supaya keluarga dapat hidup tenang,” katanya.
Beliau juga meminta pihak kolej tempat mendiang belajar agar bertemu secara peribadi dengan ibu bapa mendiang memandangkan sehingga kini tiada sebarang kunjungan rasmi dilakukan.
Bagi keluarga, perjuangan menuntut jawapan ini bukan untuk membangkitkan sensasi, tetapi demi memastikan anak mereka tidak pergi tanpa keadilan. — DEMI SABAH