KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan pengsan selepas dipercayai terhidu bahan berbahaya di sebuah kapal, Jalan Malawa 2, Kawasan Perindustrian KKIP Sepanggar, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.49 pagi sebelum menghantar sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Asama Saruddin memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth bagi rawatan lanjut.
Sementara itu, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) yang diketuai PPgB Mohammad Hannis Moktar menjalankan pemeriksaan menggunakan peralatan pengesan khas dan mendapati terdapat kehadiran gas hidrogen sulfida (H₂S) di dalam sebuah tong ikan di kawasan berkenaan.
“Pasukan Hazmat telah melakukan proses nyahcemar serta pengaliran udara bagi memastikan kawasan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan,” katanya.
Menurutnya, operasi dikawal sepenuhnya jam 10.19 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya jam 10.39 pagi.
Turut berada di lokasi ialah anggota PDRM dan KKM bagi membantu operasi. — DEMI SABAH