KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan jumlah kes COVID-19 kanak-kanak yang semakin tinggi dengan merekodkan 518 kes hari ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes melibatkan kanak-kanak berkenaan terdiri daripada 189 kanak-kana di bawah umur lima tahun dan 329 kes lagi melibatkan kanak-kanak yang berumur di antara lima hingga 11 tahun yang belum menerima vaksin.
Masidi Manjun menyarankan ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah mengambil langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas kanak-kanak, khusunya mereka yang belum layak menerima vaksin.
“Meskipun sebanyak 216 penurunan direkodkan hari ini, jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 Sabah masih tinggi iaitu mencatatkan sebanyak 3,891 kes.
“Kota Kinabalu terus mencatatkan jumlah kes tertinggi di Sabah dengan 914 kes dilaporkan hari ini manakala tiga lagi daerah turut menunjukkan peningkatan tinggi iaitu Tuaran yang mencatatkan 414 kes, Sandakan 478 kes, dan Papar 256 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Masidi, kes-kes jangkitan secara sporadik (saringan bergejala) merupakan faktor dan penentu jumlah kes di daerah-daerah yang mencatatkan kes harian tinggi.
Susulan itu, Masidi berkata, sebanyak 58.5 peratus iaitu 2,277 kes adalah saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.
“Peratusan kes jangkitan sporadik di daerah yang mencatatkan kes tiga angka adalah tinggi di mana Kota Kinabalu sebanyak 68 peratus, Sandakan 78 peratus, Tuaran 49.2 peratus, Penampang 45.7 peratus, Papar 55.8 peratus, Tawau 57.1 peratus, Lahad Datu 60.8 peratus, Beaufort 52.6 peratus, Ranau 85.7 peratus, dan dan Kota Belud 42 peratus.
“Kita dapat melihat, jangkitan secara sporadik yang tinggi telah menjadi punca penyebaran virus yang semakin cepat dan meluas, yang juga menjadi faktor utama kepada peningkatan jumlah kes COVID-19 baharu dalam masa terdekat ini,” ulasnya dalam kenyataan hari ini. – Utusan Borneo