KOTA KINABALU: Yayasan Sabah terus memperkasakan kumpulan B40 dan M40 melalui pelbagai inisiatif, termasuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini menerusi Program Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC).
Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Gulamhaidar Khan Bahadar, Program Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC) merupakan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk merancakkan lagi usaha dalam memperkasakan usahawan PKS tempatan dan membuka laluan kepada peluang pasaran industri global.
“Kami akan terus menyokong kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menumpukan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika majlis menandatangani surat tawaran GLOPEC di Menara Tun Mustapha.
Jelas beliau, Yayasan Sabah bersedia membantu usahawan PKS ke peringkat antarabangsa dan berharap usahawan yang telah dipilih memanfaatkan sepenuhnya program itu untuk memacu kejayaan mereka.
“Usahawan tidak boleh terlepas dengan peluang perniagaan ini kerana ia mempunyai nilai dagangan yang mencecah jutaan ringgit pada setiap tahun,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, GLOPEC yang dilancarkan pada 9 September tahun lepas, kini mengeksport produk usahawan ke United Kingdom dan China.
Walau bagaimanapun, beliau berkata berikutan kemunculan varian baharu Covid-19, ia telah menangguhkan proses eksport ke United Kingdom sehingga enam bulan bagi memastikan produk tersebut memenuhi garis panduan dasar negara tersebut.
“Namun begitu, halangan sedemikian tidak menghalang kami daripada mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan program ini,” ujarnya. – BERNAMA