spot_img
HomePolitikWarisan sah bertanding PRN Johor

Warisan sah bertanding PRN Johor

Johor Bahru: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan parti berkenaan bertanding pada PRN Johor adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Johor dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Taman Sutera, malam tadi.

Mohd. Shafie berkata, tidak ada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.

“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum,”

“Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datoh, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah?” Soalnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong serta Koordinator Johor, Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.

“Warisan bukan sahaja mahu bertanding PRN Johor dan tubuhkan kerajaan negeri, tetapi mahu tubuhkan kerajaan Malaysia supaya dapat bantu semua,” tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular