spot_img
HomeSemasaTiada PKP dan sekatan beraya walau kes naik

Tiada PKP dan sekatan beraya walau kes naik

KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 kian mencatatkan peningkatan mendadak dan kembali mencecah ke angka 10,000 dengan jangkaan terus meningkat sehingga 15,000 dalam masa terdekat. Susulan daripada keadaan ini, rakyat mula bimbang kerana perayaan hari raya bakal menjelang tidak lama lagi.

Pakar epidemiologi berpendapat kerajaan pasti tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini kerana situasi kawalan wabak di Malaysia pada masa ini dilihat amat berbeza berbanding dengan penularan sejak awal 2020 hingga tahun lalu ketika negara masih bergelut membendung penularan virus berkenaan, selain bertungkus-lumus mendapatkan bekalan vaksin mencukupi bagi keperluan rakyat.

Pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata dalam tempoh dua tahun sebelum ini, liputan vaksin dos primer, iaitu dua dos awal bagi membentuk perlindungan sistem tubuh badan terhadap jangkitan COVID-19, masing-masing ialah 97.9 peratus dalam kalangan dewasa dan remaja ialah 88.7 peratus.

“PKP secara menyeluruh bukanlah pendekatan yang boleh digunakan untuk mengekang penularan wabak ini kerana ia akan menjejaskan aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan sosial masyarakat. Begitu juga dengan sekatan pergerakan lain, termasuk halangan untuk pulang beraya.” jelas beliau.

Justeru, tanggapan masyarakat tentang kemungkinan untuk berdepan sekatan pergerakan atau PKP menjelang hari raya Aidilfitri nanti adalah tidak berasas kerana sebelum ini kerajaan sudah memberi jaminan bahawa sebarang keputusan akan dibuat bersandarkan bukti dan asas sains.

Pada 23 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini seperti didakwa pihak tertentu.

Sebaliknya, beliau menegaskan, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan kerajaan secara bersasar di kawasan terbabit saja.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga menyuarakan jaminannya pada 3 Februari lalu yang mengakui bahawa kes harian COVID-19 bakal mencatatkan peningkatan mendadak, namun kelonggaran untuk pulang ke kampung meraikan perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Deepavali, juga akan diberikan pada Aidilfitri.

Dengan itu, untuk mengelak sebarang kekeliruan orang awam diminta untuk berhenti membuat sebarang spekulasi yang belum pasti dan perlu fokus untuk terus kukuh berpegang pada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan pihak kerajaan serta mengambil langkah segera untuk mendapatkan dos penggalak dan memberikan vaksin kepada golongan kanak-kanak agar penularan wabak ini dapat dikawal dan tidak terlalu meninggalkan impak negatif kepada negara dan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular