KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor menggesa rakyat Sabah supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan ketat bagi membendung penularan wabak Covid-19 selepas kes meningkat dua kali ganda.
Sabah mempunyai kadar vaksinasi terendah iaitu hanya 76.2% daripada jumlah populasi dewasa yang disuntik sepenuhnya. Sebaliknya, jumlah kadar vaksinasi dewasa negara adalah pada 97.9%.
“Pematuhan SOP sangat penting bagi mengelak sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya selepas menghadiri pemukiman pelapis Gabungan Rakyat Sabah di Kudat, semalam.

Mengulas lanjut, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, negeri itu merekodkan 1,285 kes semalam selepas jumlah jangkitan menurun kepada 500 kes sejak sebulan lalu.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon menggesa Jabatan Pendidikan Negeri menangguhkan pemulangan pelajar ke sekolah sehingga selesai program vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang bermula 3 Februari ini.
“Saya menggesa Kementerian Pendidikan menangguhkan kembali ke sekolah selepas semua pelajar telah diberi vaksin sepenuhnya atau sehingga statistik menunjukkan penurunan,” katanya.
Kerajaan negeri menyatakan bahawa tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menjejaskan ekonomi negara dan ia hanya wajar untuk langkah mencegah penularan Covid-19.


