Sipitang: Majlis Daerah Sipitang telah dianugerahkan Penghargaan Bandar Mampan Terbaik Bagi Negeri Sabah (MURNInets 2.0) sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Penghargaan diumumkan secara dalam talian pada 9 November 2021 yang lalu menerusi laman rasmi Plan Malaysia.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sindumin, Sani Miasin berkongsi rasa syukur atas penganugerahan tersebut. Beliau berharap anugerah ini dapat dijadikan perangsang kepada Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Sipitang berkhidmat dengan lebih baik pada masa akan datang.
Beliau juga berharap agar pihak pengurusan Majlis Daerah Sipitang memantau demi mengekalkan kebersihan serta keceriaan bandar. Ianya bertujuan supaya pemandangan dan keindahan pekan Sipitang kelihatan lebih menarik.
“Dengan harapan, kehadiran pelancong tempatan ke daerah Sipitang akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa apabila pandemik COVID-19 ini berakhir sepenuhnya”, katanya.
Menerusi laman rasmi Facebook UPPM N35 Sindumin, beliau turut berkongsi rasa syukur dan terima kasih kepada Tanah Negeri Sabah (SLDB) atas sumbangan mercu tanda “SABAH MAJU JAYA” di daerah Sipitang sebagai lambang kejayaan terbesar beliau dalam usaha memperindah daerah Sipitang.