KOTA KINABALU : Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bermesyuarat untuk menyusun semula pucuk pimpinan mereka.
Penyusunan itu dilakukan bagi memperkasakan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka pertengahan 2022.
Mustapha Sakmud selaku setiausaha berkata penstrukturan semula MPN telah dibincangkan sebelum ini oleh Biro Politik MPN Negeri dan disahkan sebulat suara pada mesyuarat MPN yang dihadiri ketua-ketua cawangan, anggota MPN yang dilantik dan ahli MPN sedia ada.
“Pelantikan kepimpinan MPN adalah berdasarkan Fasal 27.4 melalui saranan biro politik dan perundingan dengan ketua-ketua cawangan yang hadir pada mesyuarat itu,” tambahnya.
Menurut Mustapha juga,pihak sekretariat telah mengedarkan notis mesyuarat kepada semua ketua cawangan dan meminta mereka menghantar wakil sekiranya perlu.
“Namun,terdapat segelintir pihak yang memboikot mesyuarat seperti tidak mahu berunding,” tambahnya.
Walaubagaimanapun, MPN telah meluluskan pertukaran kepimpinan dengan persetujuan majoriti ahli yang menghadiri mesyuarat dengan kuasa yang diberikan mengikut perlembagaan parti.
Berdasarkan perlembagaan parti juga,mesyuarat itu sah walaupun tanpa kehadiran ketua cawangan yang cuba memboikot mesyuarat selepas diberi notis awal.
Menurut Mustapha,Presiden parti juga telah dimaklumkan mengenai perubahan ini yang melibatkan kepimpinan utama berdasarkan Klausa 27.5.
“Kami berharap mereka yang tidak berpuas hati dengan pengurusan dalaman parti dan kepimpinan menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan bantahan dan mengelak menggunakan media secara terbuka,” katanya.
Mesyuarat MPN juga memutuskan bahawa pucuk pimpinan parti perlu membuka ruang perbincangan dalam mencari penyelesaian demi kepentingan parti.