Tambunan: Pasukan operasi SAR temukan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang berdekatan kawasan sungai di Kampung Sungai Zon Kumareling, ditemukan meninggal dunia dipercayai lemas.
Mayat mangsa, Mohammad Syaril, ditemukan berada pada jarak sekitar tiga kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian ini yang turut melibatkan penduduk kampung.
Menurutnya, kanak-kanak berusia dua tahun terbabit disedari hilang kira-kira jam 6 petang semalam semasa keluarganya sedang makan petang.
“Bapa mangsa menyedari ketiadaan anaknya selepas mendapati pintu rumah terbuka sebelum bergegas ke kawasan sungai yang hanya terletak di belakang rumah mereka”
“Hanya selipar mangsa ditemukan di kawasan sungai berkenaan dan bapa mangsa mensyaki anak bongsunya itu terjatuh ke dalam sungai”
Tambah Desmond, semasa operasi dijalankan, air sungai di kawasan terbabit agak deras biarpun keadaan cuaca baik berikutan hujan di kawasan berkenaan beberapa hari sebelum kejadian dilaporkan.
Sementara itu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.