spot_img
HomeSemasaSekatan pergerakan tamat, mudahkan perjalanan ke Tanah Suci

Sekatan pergerakan tamat, mudahkan perjalanan ke Tanah Suci

KUALA LUMPUR: Merujuk kepada kenyataan terkini, Arab Saudi kini mengambil keputusan untuk membatalkan kebanyakan sekatan yang digariskan di negara itu. Perkara ini melegakan banyak pihak kerana mempermudahkan urusan ketibaan dan perjalanan ke Tanah Suci.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata penarikan semula sekatan berkenaan turut disahkan melalui perbualan beliau dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, semalam.

“Beberapa sekatan ditarik semula oleh pihak Arab Saudi mulai semalam. Penetapan kuarantin serta ujian PCR dan RTK bagi pengembara termasuk umat Islam yang akan menunaikan ibadah suci di negara itu adalah tidak diwajibkan lagi,” katanya.

Tambahan, tiada lagi keperluan untuk memakai pelitup muka kecuali di tempat terbuka malahan saf solat juga dirapatkan semula termasuk penjarakan fizikal di kawasan awam. Melihat kepada keadaan ini, keadaan akan mula kembali seperti sediakala di sana.

Penjarakan fizikal turut ditamatkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, selain Arab Saudi tidak lagi mewajibkan pelawat yang divaksin untuk menunjukkan keputusan negatif hasil ujian PCR atau RTK sebelum tiba di negara berkenaan.

Mengulas lanjut, Razali berkata, pihaknya kini menunggu pengumuman Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan umat Islam yang akan berlepas ke Tanah Suci, susulan keputusan baharu Arab Saudi itu.

Daripada penetapan baharu ini, tidak dinafikan kemungkinan dalam pengurangan kos para jemaah berikutan tiada lagi keperluan untuk menjalani kuarantin serta ujian PCR dan RTK.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu, berkata jumlah umat Islam yang akan menunaikan umrah serta haji dijangka terus meningkat berikutan langkah diambil Arab Saudi itu.

Beliau berkata, BUMITRA menyambut baik perkembangan itu yang dilihat bakal mempermudahkan urusan kemasukan pengembara ke Arab Saudi, terutama untuk umat Islam ke Tanah Suci.

“Kami berharap Kerajaan Arab Saudi akan turut membenarkan pelaksanaan ibadah haji buat umat Islam dari seluruh dunia yang sudah dua tahun tertangguh disebabkan penularan COVID-19,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, umat Islam yang berada di Tanah Suci dinasihati supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, termasuk memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal demi menjaga kesihatan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular