SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya menahan sebuah kapal ikan disyaki membawa barang kawalan tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Pulau Berhala semalam.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan Sabah DSP Rusdin Bin Banin, pihaknya mendapati kapal suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan laut berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kapal telah menjumpai barang kawalan pelbagai jenis seperti beberapa liter minyak diesel, beberapa liter minyak petrol, beberapa kotak tepung gandum, beberapa kotak minyak masak dan beberapa biji tong gas LPG,” tambahnya.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal ikan yang digunakan berjumlah RM236,006.40,” tambahnya lagi.
Rusdin berkata juragan 1 lelaki dewasa berumur 35 tahun bersama barang rampasan tersebut dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” tambahnya.
Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.