KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Arifin Arif menafikan dakwaan bahawa beliau mempunyai anak bernama Farisyah yang dikaitkan dengan insiden melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina baru-baru ini.
Menurut Arifin, beliau sendiri telah hadir menziarahi Allahyarhamah ketika masih dirawat di hospital bersama Ketua Pengarah, selain mengunjungi keluarga mangsa di Sipitang empat hari selepas pemergian pelajar tersebut.
“Pertamanya, semasa Allahyarhamah masih dirawat di hospital, saya bersama Ketua Pengarah hadir untuk ziarah dan bertemu ibu beliau.
“Kedua, empat hari selepas arwah meninggal dunia, saya bersama rombongan Yayasan Sabah dan wakil rakyat Sindumin hadir menziarahi keluarga di Sipitang. Ibu Allahyarhamah turut menyampaikan salam kepada YAB Ketua Menteri,” katanya.
Arifin berkata, beliau menyedari terdapat dakwaan di media yang mengaitkan seorang individu bernama Farisha sebagai anaknya.
“Sebenarnya saya tidak ada anak bernama sedemikian. Anak saya juga tiada yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” tegasnya.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarhamah dikurniakan keampunan dan rahmat oleh Allah SWT, di samping menyeru keluarga agar tabah menempuh ujian tersebut.
“Kita tunggu hasil siasatan polis. Kita tidak berkompromi berhubung apa yang berlaku terhadap pelajar ini dan kita minta siasatan terbuka terus dilaksanakan untuk arwah,” katanya. — DEMI SABAH