PAPAR: Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar berjaya menyelamatkan seekor penyu yang ditemukan terdampar di tepi pantai Kampung Santing, Pengalat Besar di sini, semalam.
Menurut Komander Operasi, PBK II Dahlan Zainuddin, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 7.44 malam sebelum tiga anggota bersama sebuah jentera pacuan empat roda digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.10 malam, kami mendapati seekor penyu berada dalam keadaan lemah di tepi pantai. Dengan bantuan orang awam, pasukan menggunakan kaedah mengangkat dengan kain bagi memastikan keselamatan haiwan tersebut,” katanya.
Menurutnya, penyu berkenaan kemudian dilepaskan semula ke habitat asal di pesisir pantai selepas pasukan bomba memastikan ia berada dalam keadaan selamat.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.45 malam.
Turut hadir membantu, penduduk setempat yang bertindak pantas melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa. — DEMI SABAH


