Kuching: Sarawak akan tetap menuntut diberi satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen tanpa mengira sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat atau tidak.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata ini kerana perkara tersebut adalah antara hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sama ada sebelum pilihan raya atau selepas pilihan raya itu saya tak tahu, tapi kita memang sentiasa bawa perkara ini ke atas, ke peringkat yang tertinggi dan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ‘Let’s Talk With Wanita Pemadam’ sempena Sambutan Hari Antidadah Pemadam Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, semalam.
Terdahulu, perkara ini sudah ditekankan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, tuntutan ini penting bagi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat selepas ketiadaan Singapura.
Menurutnya, apabila Sarawak dan Sabah tidak mempunyai atau memiliki kurang daripada satu pertiga kerusi parlimen, sebarang pindaan perlembagaan akan dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung yang memiliki dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.
“Kita (Sarawak) tahu perlembagaan boleh dipinda sekiranya mereka memiliki lebih daripada dua pertiga, Sabah dan Sarawak kurang satu pertiga, perlembagaan boleh dipinda,” ujarnya.
Sementara itu, Sharifah Hasidah mengalukan sekiranya tuntutan Sarawak terbabit boleh dipenuhi kerajaan Persekutuan sebelum ketibaan PRU15.
“Kalau tidak (dipenuhi tuntutan terbabit sebelum PRU15) kita akan teruskan juga sampai bila-bila perjuangan kita ini,” tambahnya lagi. – BERNAMA