spot_img
HomeSemasaSAPP usul Sabah IC ke sidang DUN Sabah

SAPP usul Sabah IC ke sidang DUN Sabah

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) akan mengemukakan usul mengenai Kad Pengenalan Sabah (Sabah IC) ke persidangan DUN Sabah pada Mac depan.

Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul berkata, usul itu akan dibentangkan oleh Presiden SAPP, Yong Teck Lee.

“Gesaan Sabah IC telah diketengahkan selama bertahun-tahun dan ianya memerlukan masa yang tepat untuk melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Terdahulu, kerajaan persekutuan menerima kritikan hebat daripada kedua-dua belah pihak dalam jurang politik, berikutan cadangan kad khas untuk warga asing di negeri ini.

“SAPP telah menyiapkan kertas kerja yang mengambil kira terhadap semua aspek termasuk soal perundangan dan sosio-ekonomi. Sekiranya perkara ini dicadangkan nanti, kita akan serahkan butirannya kepada kerajaan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menyelia kertas kerja mengenai Sabah IC yang terdiri daripada beberapa pemimpin parti.

Beliau berkata, Sabah IC mampu menyelesaikan banyak isu, seperti pengeluaran kad pengenalan dalam Projek IC, pengundi hantu dan anak negeri tanpa izin negeri terutama di kawasan pedalaman.

“Sabah IC bukan pengganti MyKad, tetapi ianya merupakan jaminan perlindungan hak kita sebagai rakyat Sabah tulen dan rakyat Malaysia yang layak,” tambahnya lagi.

Sementara itu, sepasukan peguam muda akan bekerjasama untuk memberikan input penting dari segi perundangan bagi memastikan kesahihannya dalam ordinan negeri agar ianya boleh digunakan pada masa hadapan.

Jelasnya, usul Sabah IC ini juga mendapat sokongan pelbagai pemimpin, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan serta Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular