HomeEkonomiSabah sasar kemiskinan mutlak turun 3 hingga 5 peratus menjelang 2030

Sabah sasar kemiskinan mutlak turun 3 hingga 5 peratus menjelang 2030

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan  mutlak Sabah kepada sekitar tiga hingga lima peratus menjelang 2030, selain mengekalkan  sifar miskin tegar secara mampan menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju  Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sasaran itu memerlukan  satu pelan tindakan lebih komprehensif, bersepadu dan berorientasikan keberhasilan,  bukan sekadar menambah bilangan program atau bantuan kepada rakyat.

Beliau berkata, usaha itu turut memerlukan penetapan sasaran pengurangan bilangan  Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun menerusi Pelan  Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah 2027–2030.

“Berdasarkan laporan sistem eKasih setakat 15 Oktober 2026, Sabah masih merekodkan  seramai 55,555 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kategori miskin. Justeru, saya mahu angka  ini dijadikan sebagai salah satu data asas bagi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI)  dalam pelan tersebut, dengan sasaran pengurangan bilangan KIR miskin yang jelas dan  boleh diukur setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kesejahteraan dan  Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, inisiatif dibawah Pelan Pembangunan SMJ 2.0 di  Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, setiap kementerian dan agensi yang terbabit perlu menetapkan sasaran  intervensi serta melaporkan keberhasilan sebenar dalam membantu isi rumah keluar  daripada kemiskinan secara mampan.

Katanya, pembangunan Dasar atau Garis Panduan Exit Policy Kemiskinan Negeri Sabah  yang jelas dan bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi rakyat negeri ini juga perlu  dibangunkan.

“Kita tidak boleh hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah penerima yang dikeluarkan  daripada senarai kemiskinan, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar mempunyai  keupayaan untuk berdikari dan tidak kembali terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan,”  katanya.

Beliau berkata, indikator penilaian perlu diperhalusi dengan mengambil kira pendapatan isi  rumah yang melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) secara konsisten, pekerjaan  atau sumber pendapatan stabil, kediaman selamat, kemampuan memenuhi keperluan asas  serta pemilikan aset produktif.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan “Exit Policy” bukan bermaksud bantuan kerajaan  dihentikan secara automatik apabila pendapatan penerima melepasi garis kemiskinan.  Sebaliknya, mekanisme secara berperingkat, pemantauan berterusan serta sokongan  bersesuaian perlu disediakan, khususnya kepada keluarga yang masih berisiko kembali  miskin.

Hajiji berkata, semua program bantuan kerajaan termasuk Rumah Mesra SMJ, Sentuhan  Kasih Rakyat (SYUKUR), bantuan pendidikan, biasiswa, zakat, kebajikan, latihan  kemahiran dan keusahawanan perlu diselaraskan dalam satu kerangka intervensi  bersepadu.

Katanya, setiap kementerian dan agensi perlu mempunyai tanggungjawab jelas dengan  penetapan agensi peneraju, tempoh pelaksanaan, sumber pembiayaan serta KPI yang  benar-benar mengukur perubahan taraf hidup dan peningkatan pendapatan rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan meneroka sektor ekonomi biru seperti perikanan,  akuakultur dan pelancongan marin bagi menjana pendapatan rakyat.

Katanya, institusi pengajian tinggi perlu melahirkan graduan berkemahiran tinggi, manakala  pihak industri perlu mempergiat pelaburan bagi mewujudkan lebih banyak peluang  pekerjaan.

Dalam masa sama, katanya, nasib rakyat Sabah yang merantau ke Semenanjung Malaysia  untuk mencari rezeki juga perlu diberi perhatian dengan memperbanyak peluang pekerjaan  di negeri ini, agar mereka tidak lagi terpaksa berhijrah ke tempat lain.

Beliau turut mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi bahawa tahun 2030  bukanlah satu tempoh untuk menunggu, sebaliknya sasaran yang menuntut tindakan  bermula sekarang.

“Saya tidak mahu pelan ini sekadar menjadi satu lagi dokumen dasar yang tersimpan tanpa  pelaksanaan yang berkesan. Sebaliknya, saya mahu setiap perancangan diterjemahkan  kepada tindakan, setiap bantuan memberikan impak dan setiap ringgit yang dibelanjakan  membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh bidang pendidikan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri terus  memperkukuh pelaksanaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan meningkatkan  peruntukan tahunan daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM160 juta pada 2026, iaitu  peningkatan hampir tiga kali ganda.

Katanya, jumlah peruntukan biasiswa bagi tempoh 2021 hingga 2026 mencecah RM625  juta, dengan seramai 16,207 pelajar menerima manfaat secara terkumpul sehingga tahun  ini, termasuk 5,412 pelajar yang menerima biasiswa bagi 2026.

Beliau berkata, usaha itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan untuk  melanjutkan pengajian, tetapi juga pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal  insan Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular