spot_img
HomeSemasaRemaja maut tersepit, Bezza terbabas

Remaja maut tersepit, Bezza terbabas

LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas tersepit dalam kereta jenis Perodua Bezza yang terbabas di Bulatan depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu awal pagi tadi.

Sumber Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), memaklumkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit di tempat duduknya sebelum dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) Telescopic Ram.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Anggota bomba melihat keadaan mangsa yang maut dan berjaya dikeluarkan dari kenderaan.

Dua lagi mangsa lelaki berusia 28 dan 31 tahun, termasuk pemandu berjaya keluar sendiri dari kereta sebelum ketibaan pasukan bomba.

Mereka mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Komander Operasi, PBK I Mohamud Punya, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.42 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bergegas ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati sebuah kereta Perodua Bezza terbabas di tepi jalan dengan seorang mangsa tersepit di bahagian penumpang.

“Pasukan menggunakan peralatan RTA untuk mengeluarkan mangsa dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi yang turut dibantu oleh polis dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya jam 5.48 pagi setelah keadaan di lokasi disahkan selamat. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular