PUTRAJAYA: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MyDigital ID melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan yang menawarkan pengurangan saman trafik sebanyak 50 peratus.
Tawaran istimewa ini sah bermula 31 Ogos hingga 16 September 2025, namun hanya untuk pembayaran yang dibuat melalui aplikasi MyBayar PDRM dengan log masuk menggunakan MyDigital ID.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia sempena sambutan bulan kemerdekaan negara.
“Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Tawaran pengurangan saman ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, penggunaan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang sah dan dilindungi akan memastikan akses lebih terjamin, selain mengurangkan risiko penipuan identiti dan penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat.
Menurutnya, kempen ini adalah sebahagian usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara, sekali gus membuktikan komitmen KDN dan PDRM dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan seiring dengan agenda digitalisasi negara. — DEMI SABAH