LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak hilang, manakala bapanya cedera selepas diserang buaya diperairan berhampiran Pangkalan Marin, semalam.
Kanak-Kanak lelaki berumur satu tahun itu dipercayai dibaham buaya ketika mendayung sampan bersama bapanya di kawasan tersebut kira-kira jam 10.05 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bomba digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Operasi berkenaan turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Terdapat dua mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki Palauh dan kanak-kanak lelaki dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurutnya, lelaki terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, manakala anaknya pula masih hilang dipercayai dibaham buaya.
“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan Ambulan untuk menerima rawatan susulan.
“Pasukan bomba masih menjalankan operasi Search And Rescue (Surface) bersama agensi lain di sekitar perairan lokasi kejadian,” katanya.
Terdahulu, demisabah sempat menemubual penduduk Lahad Datu yang tinggal berdekatan dengan lokasi kejadian.
“Sepatutnya pihak berwajib perlu tangkap atau bunuh buaya liar ini yang bebas dipinggir laut bandar Lahad Datu”
Tambah Izan Rahman 32 tahun, berkali-kali buaya liar ini muncul diperairan pantai Lahad Datu. Malahan buaya ini timbul di kawasan perkampungan air.
“Buaya ini pemakan manusia, oleh yang demikian, pihak berwajib perlu tangani masalah ini. Kita tidak mahu berulang buaya membunuh penduduk Lahad Datu lagi” katanya.
Wartawan: Bilal Priadi