BEAUFORT: Seorang pesakit strok dihantar ke hospital oleh pasukan bomba selepas keluarganya tidak dapat mengeluarkannya akibat banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.21 pagi dari Kampung Luagan.
“Sepasukan bomba serta Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi,” katanya.
Difahamkan pesakit itu terperangkap dalam banjir menyebabkan dia sukar mendapatkan rawatan.
Sementara itu, sepasukan bomba turut menyelamatkan sebuah keluarga yang terperangkap dalam banjir.
“Keluarga berkenaan diselamatkan bersama sebuah bot dan lori sebelum dihantar ke pusat pemindahan sementara di Dewan Masyarakat Datuk Dun,” tambahnya.


