spot_img
HomeSemasaPerintah berkurung di 7 kawasan perairan Sabah diteruskan

Perintah berkurung di 7 kawasan perairan Sabah diteruskan

KOTA KINABALU: Perintah berkurung yang membabitkan tujuh daerah meliputi kawasan perairan di Pantai Timur Sabah diteruskan.

Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang dikatakan berakhir esok dilanjutkan bermula 26 Disember sehingga 10 Januari depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung tersebut meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkurung ini dilanjutkan untuk memastikan kawasan perairan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat di pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan perairan negeri ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan yang lainnya,” katanya.

“Oleh itu, orang awam yang tinggal di kawasan terbabit dilarang menghampiri atau berada di kawasan yang diisytihar antara jam 6 petang hingga 6 pagi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan sama, Idris memaklumkan perintah yang dijalankan mampu menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Dalam pada itu, beliau berkata, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan ke atas pergerakan bot selain mewujudkan rasa selamat dan meningkatkan keyakinan pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular