spot_img
HomeSemasaPenyakit demam babi Afrika dikesan di Melaka

Penyakit demam babi Afrika dikesan di Melaka

KUALA LUMPUR : Penyakit baru yang dikenali sebagai penyakit Demam Babi Afrika (ASF) mula dikesan di tujuh ladang babi di Paya Mengkuang, Melaka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata laporan berkaitan kes tersebut diterima daripada penternak yang terbabit. Kes ini turut dibuktikan dengan pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember lalu.

“Dalam usaha mengawal dan membasmi penyebaran penyakit ASF, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengeluarkan Notis Perintah Kuarantin ke atas ladang babi di Paya Mengkuang dan sebarang ternakan tidak dibenarkan keluar atau masuk di kawasan terjangkit.” jelas beliau.

Tindakan pemusnahan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga dijalankan untuk semua ternakan babi di ladang terjangkit berdasarkan Seksyen 19, Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

“Setiap ternakan di ladang akan menjalani pemeriksaan terlebih dahulu dan jika disahkan bebas jangkitan, ternakan akan dibenarkan untuk penyembelihan di rumah sembelihan yang diluluskan. Karkas dan daging babi dilarang untuk dibawa keluar ke negeri lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, syarat pemindahan ternakan babi dan produk babi di seluruh Semenanjung akan diperketat, dipantau serta menjalani pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang babi di kawasan terjangkit serta ladang babi seluruh negara akan dipergiat.

Pada masa sama, semua penternak babi dinasihatkan agar tidak memberi babi makanan sisa dapur dan tidak membuang bangkai babi ke dalam sungai, kolam serta kebun.

Penternak dan orang awam juga diminta untuk menjadi mata-mata dan harus bertindak segera untuk melaporkan kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau menghubungi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-88702041.

“Penyakit ASF memberi impak ekonomi yang besar kepada industri penternakan babi kerana boleh menyebabkan kematian sehingga 100 peratus,” tambahnya.

Dr Norlizan juga meninggalkan nasihat kepada orang ramai supaya tidak panik kerana penyakit ASF penyakit tidak zoonotik, dimana ianya tidak berjangkit kepada manusia.

Sebagai langkah keselamatan untuk masa mendatang, penghasilan daging babi perlu disediakan dengan kadar dan tahap yang betul supaya penyebaran virus dan penyakit ASF dapat dikawal dengan sebaiknya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular