HomeSemasaPengisian jawatan Pendidikan Kesihatan, anak tempatan Sabah Sarawak terus diberi perhatian

Pengisian jawatan Pendidikan Kesihatan, anak tempatan Sabah Sarawak terus diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada anak negeri Sabah dan Sarawak untuk mengisi kekosongan jawatan dalam sektor pendidikan dan kesihatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan agenda Borneonisasi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud berkata, isu kekurangan guru, doktor dan pakar perubatan di Sabah dan Sarawak merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam platform MA63.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Pele Peter Tinggom pada persidangan Dewan Negara.

Menurut Mustapha, kerajaan komited memastikan anak tempatan diberi keutamaan untuk berkhidmat di negeri kelahiran masing-masing bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor kritikal.

“Keutamaan diberikan kepada anak negeri supaya mereka dapat berkhidmat di negeri masing-masing. Bagaimanapun, kita sedia maklum masih banyak kekosongan terutama dalam sektor kesihatan di Sabah dan Sarawak.

“Justeru, usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyediakan biasiswa kepada anak-anak tempatan bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan amat penting bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga mengambil kira cabaran menempatkan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat, khususnya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan akan terus menggalakkan lebih ramai anak Sabah dan Sarawak menceburi bidang kritikal seperti perubatan agar mereka dapat kembali berkhidmat di negeri masing-masing, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular