KOTA KINABALU: Berikutan keputusan kerajaan berkenaan pembukaan sempadan negara mulai 1 Mac depan, pemain industri sektor pelancongan perlu diberikan penjelasan terperinci lebih awal mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong luar.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa perlu mengenakan kuarantin wajib.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, Sabah bersedia memberi sokongan terhadap cadangan itu.
“Walaupun keputusan itu dialu-alukan dalam usaha memulihkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan, pelaksanaan SOP ketat perlu diberi perhatian.
“Langkah itu perlu bagi memastikan kemasukan pelancong asing tidak memburukkan lagi jangkitan COVID-19 di negara ini yang kembali meningkat disebabkan penularan varian Omicron.
Tambahnya, mereka berpendapat, pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan kita, khususnya di Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan.
“Bagaimanapun, SOP yang ketat perlu disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta menjelaskan secara terperinci kepada pemain industri bagi memastikan mereka bersedia sebelum pembukaan sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada media.
Pada masa yang sama, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan persetujuannya berkenaan cadangan tersebut, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Sementara itu, Jafry berkata kementeriannya juga bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal.
“Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah juga merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.
“Pelancong luar yang mahu ke Sabah disarankan supaya mengambil pelan perlindungan insurans yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan COVID-19, ” katanya.
Tambah beliau lagi, matlamat sekarang ini adalah merek mahu membuka sempadan agar industri pelancongan terus hidup tetapi dalam masa sama memastikan agar penularan COVID-19 dapat dikawal.
Ketika ini, katanya kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik, manakala cadangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia-Singapura (VTL) juga masih di peringkat perbincangan dan belum dilaksanakan di Sabah.- BH