Pasir Pas: Pasukan Komando Unit Tindakan Khas (UTK) digerakkan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan untuk menangani isu berkaitan kumpulan Abu Sayyaf, di Pantai Timur Sabah.
Datuk Hazani Ghazali, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, berkata tindakan itu bagi menunjukkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan berkenaan termasuklah sempadan Sabah-Kalimantan.
“Kawalan keselamatan tetap dilaksanakan, walaupun lebih dua tahun tidak berlaku kes-kes penculikan, khususnya di pantai timur Sabah.
“Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan dan pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM),” katanya kepada pemberita selepas Program ‘Tangan Bersalaman’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini (semalam).
Mengulas lanjut, Hazani berkata status Mudzrimar yang dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta J2 WESTMINCOM kerana terbabit dalam beberapa siri pertempuran dan pertembungan dengan pasukan keselamatan Filipina sejak Julai 2021.
Berdasarkan maklumat risikan, kali terakhir dia dilihat pada 10 Januari lalu disebuah kawasan di Sulu, ketika keluar mengambil makanan.
“Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Kelantan, pada Mac nanti,” kata Hazani lagi bagi mengulas mengenai kawalan sempadan darat di sempadan Malaysia-Thailand.
“Ketika ini, proses tinjauan sedang dilakukan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand, bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, kawasan rondaan serta kawasan sering berlakunya penyeludupan.
Hazani turut berkata, mereka juga meninjau lokasi sesuai untuk menempatkan kuda-kuda ini, sama ada di Pengkalan Kubor, Tumpat atau Rantau Panjang.
Beliau berkata dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU itu ia mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan. – BERNAMA


