spot_img
HomeEkonomiParti Warisan lancar agenda penambahbaikan infrastruktur, utiliti di Sabah

Parti Warisan lancar agenda penambahbaikan infrastruktur, utiliti di Sabah

KOTA KINABALU: Parti Warisan akan melancarkan agenda penambahbaikan infrastruktur dan utiliti di Sabah sebagai sebahagian daripada strategi untuk memperbaiki ekosistem perniagaan, pelaburan dan agroindustri Negeri Sabah sebaik sahaja parti itu membentuk Kerajaan baharu.

Ketua Jawatankuasa Dasar Ekonomi Warisan JPRN, Sarifuddin Hata berkata agenda itu perlu untuk meningkatkan daya saing negeri ini dan membolehkan Kerajaan Negeri mengeksploitasi sepenuhnya kedudukan geografi Sabah untuk menjadikannya pusat perindustrian dan perdagangan baharu di Asia.

“JPRN percaya kos untuk menjalankan perniagaan di Sabah yang tinggi adalah sebahagian daripada sebab mengapa Sarawak akan menjadi kuasa besar ekonomi dan pelaburan Malaysia lebih-lebih lagi apabila Sarawak sedang giat membina sistem infrastruktur yang baik serta penghasilan tenaga yang murah,” katanya.

Tambah beliau, kebimbangan JPRN ialah sekiranya semakin ramai pelabur berasaskan pemprosesan komoditi memilih Sarawak (kerana ekosistemnya yang kondusif), lama kelamaan komoditi mentah kita seperti getah asli atau hasil kayu dari Tenom, Sipitang atau Keningau akhirnya akan dihantar ke Sarawak melalui Lebuhraya Pan Borneo untuk tujuan industri hiliran.

“Kita telah melihat bagaimana minyak dan gas Sabah disalurkan ke Bintulu melalui Kimanis dan perkara yang sama juga boleh berlaku kepada komoditi mentah kita,”

Inilah sebabnya mengapa Sabah mesti meningkatkan daya saingnya dan untuk tujuan ini, kita mesti pertama sekali mempertingkatkan sistem infrastruktur dan utiliti di seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifuddin yang juga ADUN Merotai berkata, agenda ini juga harus dirangkumi dengan penubuhan Jabatan Geologi Negeri, penglibatan pihak yang berkepentingan dalam proses perancangan serta pematuhan konvensyen antarabangsa.

“JPRN percaya Kerajaan Negeri perlu membuat perubahan dalam spesifikasi jalan, saliran dan paip yang sedang digunapakai pada hari ini dan menggantikannya dengan spesifikasi gred industri (tugas berat)”

“Mengapakah ladang-ladang kelapa sawit di Semenanjung mempunyai jalan pengantara yang sangat baik manakala ladang-ladang kelapa sawit di Pantai Timur negeri kita berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan walaupun Kerajaan Negeri mengutip pelbagai bentuk hasil dari industri kelapa sawit?

Tambahnya, keperluan untuk Sabah menggunakan spesifikasi gred industri untuk infrastruktur dan utiliti ini juga telahpun dibangkitkan oleh Timbalan Presiden kita, Datuk Darell Leiking pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

“Untuk tujuan ini, kita perlu terlebih dahulu menubuhkan Jabatan Geologi Negeri, yang sepatutnya bergerak bersama-sama dengan Jabatan Alam Sekitar Negeri, dimana kedua-duanya boleh membuat kajian tentang keadaan tanah, pergerakkan air ataupun kesan alam sekitar sebelum memulakan sebarang projek infrastruktur”

“Memandangkan banyak rungutan dan konflik mengenai projek infrastruktur di Sabah kelolaan GRS telah dibuat, kita juga harus memberi peluang kepada pembayar cukai dan pemegang taruh seperti pemain industri, WWF atau Transparency International dalam proses perancangan dan untuk memastikan konvensyen antarabangsa seperti FPIC/UNDP dipatuhi,” jelasnya.

Beliau menambah, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis juga ialah Pengerusi Jawatankuasa ‘Sustainable Development Goal (SDG) untuk Parlimen Malaysia dan pengalaman serta rangkaiannya berkaitan SDG juga akan membolehkan Warisan meneruskan agenda ini tanpa menjejaskan kepentingan Orang Asli.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular