TAMBUNAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa parti-parti tempatan perlu terus diberi mandat untuk memimpin negeri ini demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan.
Berucap pada Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, Tambunan hari ini, beliau berkata kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada lapan parti tempatan sudah membuktikan keupayaan dalam mentadbir negeri secara menyeluruh.

“Kita semua sebagai rakyat Sabah mahu parti-parti tempatan terus memimpin dan mentadbir negeri tercinta ini.
“Rakyat mahu kestabilan dan kemajuan berterusan. Sosok kepimpinan GRS di Tambunan seperti Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan perlu terus diberi kepercayaan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan rekod lima tahun pentadbiran GRS jelas membuktikan kerajaan bukan sekadar berjanji, tetapi melaksanakan dasar untuk rakyat.

“Sepanjang lima tahun ini, kita berjaya memulihkan prestasi ekonomi, menarik pelaburan bernilai RM31 bilion, menyediakan bantuan RM300 sebulan kepada 100,000 rakyat miskin, memperuntukkan RM1.4 bilion untuk kebajikan dan RM1.33 bilion untuk pendidikan,” katanya.
Beliau menambah, rekod pencapaian itu adalah bukti bahawa kerajaan negeri terus berfungsi serta bekerja untuk rakyat, selain memberi jaminan bahawa Sabah berada pada landasan pembangunan yang kukuh.
Program YSBR 2025 di Tambunan menjadi platform untuk kerajaan turun padang bersama rakyat, menyampaikan bantuan serta membawa perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat setempat. — DEMI SABAH