HomeSemasaMustapha, SSMJ perkukuh kerjasama jayakan agenda pembangunan negara

Mustapha, SSMJ perkukuh kerjasama jayakan agenda pembangunan negara

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, usaha itu antara fokus utama yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ), Jabatan Ketua Menteri Sabah yang diketuai Ketua Pegawai Penyelaras SSMJ, Datuk Rosmadi Sulai.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Mustapha berkata, pertemuan berkenaan menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan pembangunan Sabah.

Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh keutamaan pembangunan negeri, penyelarasan dasar serta usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

“Turut dibincangkan ialah aspirasi dan hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (2026–2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan mampan, inklusif dan berimpak tinggi.

“Kejayaan pelaksanaan agenda ini memerlukan komitmen serta kerjasama erat daripada semua pihak agar segala perancangan yang digariskan dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” katanya.

Mustapha berkata, hubungan kerja yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan elemen penting dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak SSMJ atas kunjungan berkenaan dan berharap jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh demi memacu kemajuan Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular