KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud menegaskan peranan media sebagai jambatan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat, khususnya berkaitan pelaksanaan agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Wartawan Utara Sarawak dalam satu sesi ramah mesra yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Mustapha, sesi itu memberi ruang untuk beliau berkongsi perkembangan semasa mengenai peranan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda MA63, termasuk komitmen berterusan Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kerajaan kekal komited memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus diperkasakan selaras dengan semangat Persekutuan Malaysia.
“Media memainkan peranan penting sebagai jambatan penyampai maklumat yang tepat kepada rakyat.
“Saya amat menghargai pandangan, soalan dan perkongsian daripada rakan-rakan wartawan yang sentiasa komited menyampaikan laporan yang berimbang dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Wartawan Utara Sarawak atas kunjungan berkenaan dan berharap hubungan baik antara kerajaan serta pengamal media terus diperkukuh.
Menurutnya, kerjasama erat itu penting bagi memastikan rakyat memperoleh maklumat yang sahih, tepat dan menyeluruh mengenai agenda pembangunan negara, khususnya membabitkan Sabah dan Sarawak.


