KOTA KINABALU: Mayat seorang kanak-kanak lelaki ditemui terapung di laut berhampiran Kampung Tanjung Aru, Jalan Coastal, kelmarin.
Menurut Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa ditemukan sekitar pukul 1.45 tengah hari dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik.
“Dua remaja yang melalui kawasan berkenaan terjumpa mayat budak lelaki itu, dipercayai berusia lingkungan 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja lelaki itu mengangkat mayat mangsa sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
“Ketiadaan kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette- Guerin) pada badan budak lelaki itu menunjukkan mangsa berkemungkinan warga asing,” tambahnya lagi.
Walau bagaimanapun, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan lakaran wajah mangsa diserahkan kepada media untuk mencari waris. – BERNAMA


