spot_img
HomeEkonomiBukan masanya naik gaji minimum – Foo Ngee Kee

Bukan masanya naik gaji minimum – Foo Ngee Kee

Kota Kinabalu: Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) berpendapat tindakan kerajaan untuk melaksanakan kenaikan gaji minimum pada ketika ini adalah tidak tepat pada waktunya.

Presidennya, Prof. Foo Ngee Kee berkata, pengusaha dalam sektor ekonomi masih belum pulih sepenuhnya. Masa terbaik untuk pelaksanaan itu adalah selepas semua perniagaan pulih.

“Ketika itu para peniaga mampu membiayai kenaikan gaji minimum sebanyak 25 peratus daripada RM1,200 ketika ini.”

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini dan ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Langkah ini dijangka mampu memberi sumbangan positif dalam merangsang ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli pekerja.

Sementara itu, menurut Foo, masa kini kerajaan masih belum berjaya mengatasi dua masalah utama seperti kadar pengangguran tinggi dan memulihkan perniagaan PKS serta lain-lain.

Foo menjelaskan kenyataan bersama itu dikeluarkan bagi pihak Persatuan Industri Kayu-Kayan Sabah, Persatuan Perabot Sabah, Persatuan Binaan Sabah, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah, Persatuan Majikan Sabah dan ramai lagi.

Katanya, kadar pengangguran di Sabah juga meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8 peratus 2020 dan 9 peratus pada suku ke empat 2021.

Menurutnya, seramai 184,000 penduduk tempatan menganggur pada 2021 yang mana kerajaan negeri dan persekutuan sedang sedaya upaya mengatasi masalah berkenaan.

Namun demikian, keputusan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya yang terlibat dalam industri perniagaan kecil.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pelaksanaan itu juga akan menjejaskan lagi masalah pengangguran di Malaysia khususnya Sabah.

“Hampir semua peniagaan PKS terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan status kewangan masih lemah serta ketidaktentuan penjanaan hasil jualan, ramai dalam kalangan peniaga juga bergelut untuk membayar gaji pekerja mereka, apa lagi selepas pelaksanaan gaji minimum baharu nanti.”

“Pelaksanaan yang tidak berbincang dengan sektor swasta boleh membawa kepada kegagalan perniagaan sekali gus menyebabkan lebih ramai pengangguran,” ujarnya.

“Peningkatan gaji minumum juga akan menyebabkan kos operasi PKS meningkat dan akhirnya harga barangan juga naik mendadak sehingga menyebabkan rakyat sengsara khususnya golongan berpendapatan rendah,” tambahnya lagi. -Utusan

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular