HomeEkonomiLRA Kogopon dan loji muka sauk Kabang atasi gangguan bekalan air menjelang...

LRA Kogopon dan loji muka sauk Kabang atasi gangguan bekalan air menjelang hujung tahun

PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan loji muka  sauk Kabang yang baharu di sini dijangka mula beroperasi masing-masing pada November  dan Ogos tahun ini.

Kedua-dua projek itu dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air di kawasan  Papar, Putatan dan Kimanis.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan  Jabatan Air Negeri Sabah supaya memantau rapi pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan  dan memastikan ia disiapkan tanpa sebarang kelewatan lagi.

Beliau turut menggesa jabatan itu supaya lebih proaktif dalam menangani isu gangguan  bekalan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, bukan sahaja di daerah  ini tetapi juga di seluruh negeri.

“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita komited untuk menyelesaikannya,” katanya ketika mendengar  taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, berhampiran sini, hari  ini.

“Saya sendiri menerima banyak aduan. Saya berharap jabatan akan memberi perhatian  serius terhadap semua isu ini dan memastikan rakyat tidak terus berdepan masalah bekalan  air,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh, memaklumkan kepada  Ketua Menteri bahawa LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadualkan mula membekalkan  air menjelang akhir November.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima  Joachim Gunsalam dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.

Keseluruhan projek LRA Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028, namun  Chee berkata loji itu dijangka mula membekalkan air bagi memenuhi keperluan di Papar,  Putatan hingga Kimanis sebelum penghujung tahun ini.

Mengenai loji muka sauk Kabang bernilai RM39.73 juta, Ketua Menteri dimaklumkan  bahawa projek itu kini siap 90 peratus dan dijangka mula beroperasi pada September tahun  ini.

Loji muka sauk baharu itu, yang dijangka meningkatkan kapasiti daripada sembilan MLD  kepada 30 MLD, dibina lebih jauh di hulu Sungai Papar di kawasan Kabang bagi mengatasi  masalah kemasinan air yang kerap menjejaskan operasi Loji Rawatan Air di bawah Skim  Bekalan Air Kecemasan (EWSS) serta kemudahan pengambilan air sedia ada di Limbahau.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular