SEMPORNA: Lima individu ditemui lemas apabila bot yang membawa 20 penumpang terbalik di perairan Pulau Tandoan, Timbun Mata, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Norrimi Hassan berkata, 13 daripada penumpang itu diselamatkan penduduk kampung, manakala dua lagi masih hilang.
“Kesemua penumpang dalam bot itu dipercayai warga tempatan dan mereka berasal dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan. Siasatan awal mendapati bot berkenaan terlebih muatan dan cuaca ketika itu tidak baik,” katanya ketika dihubungi.
Pulau Tandoan terletak kira-kira 4 kilometer dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah.
Jelas beliau, lima mangsa disahkan meninggal dunia manakala dua masih hilang dikenali sebagai Noranis, 14 dan Aiman, 7.
Difahamkan lima mangsa meninggal dunia dan dua mangsa yang masih hilang mempunyai ikatan kekeluargaan.
“Berkenaan dengan mangsa lemas, mereka berusia antara satu hingga 33 tahun terdiri daripada dua wanita, dua perempuan dan seorang lelaki,” jelasnya.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan dan diluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian.