spot_img
HomeJenayahLelaki warga asing dipenjara empat tahun, milik organ penyu

Lelaki warga asing dipenjara empat tahun, milik organ penyu

TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang memiliki organ penyu hijau (Chelonia Mydas) telah dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Seksyen, semalam.

Tertuduh, Suryan Sah Mohd Edi, 31, telah dijatuhkan hukuman oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut laporan, Suryan Sah didakwa melakukan kesalahan memiliki 13 keping plastron dan 25 keping sisik marginal penyu hijau di hadapan sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 10 pagi, 29 Mac lepas.

Spesies penyu tersebut dilindungi sepenuhnya mengikut senarai dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.

Hukuman ke atas tertuduh dibuat mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 selain penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut Awang Kerisnada dalam penghakimannya, tertuduh adalah seorang penjenayah alam sekitar dan mahkamah perlu bertegas dalam perkara tersebut.

“Tiada maaf bagimu penjenayah alam sekitar, sekiranya mahkamah tidak tegas maka hidupan liar di laut akan pupus, ini merupakan amaran keras kepada penjenayah alam sekitar lain.

“Item rampasan yang ditemukan bersama tertuduh semasa kejadian seperti kapak dan tukul, juga sudah menunjukkan yang penyu itu dibunuh dengan kejam,” katanya.

Susulan itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman selain mengarahkan pihak pendakwaan melupuskan kesemua barang rampasan iaitu plastron, sisik marginal penyu, perahu, enjin bot, sebilah pisau, kapak, tukul dan ‘google mask’ dengan sijil lupus dikeluarkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar Abdul Karim Dakog sementara tertuduh tidak diwakili peguam. – Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular