spot_img
HomeSemasaLelaki parah tersepit, kemalangan 2 kenderaan

Lelaki parah tersepit, kemalangan 2 kenderaan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Tuaran Bypass, belakang UA 1, lewat malam tadi.

Mangsa yang berada di dalam Proton Saga berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap di bahagian tempat duduk hadapan.

Seorang lagi mangsa lelaki dari kenderaan sama sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak berkuasa.

Komander Operasi, PBK I Selvister Yamud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.47 malam sebelum 11 anggota dari Balai Bomba Lintas bersama jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

“Kemalangan ini melibatkan sebuah Isuzu Dmax dan sebuah Proton Saga dengan enam mangsa keseluruhan.

“Empat mangsa daripada Isuzu Dmax telah dihantar ke hospital oleh ahli keluarga sebelum pasukan bomba tiba.

“Dua lagi mangsa yang berada di dalam Proton Saga telah dikeluarkan, salah seorang oleh orang awam manakala seorang lagi tersepit berjaya kami keluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa Proton Saga diberi rawatan awal oleh unit EMRS Bomba di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera EMRS.

Turut berada di lokasi membantu, pasukan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.33 tengah malam setelah kawasan dipastikan selamat. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular