KUDAT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut pada Sabtu lepas telah ditemukan di perairan berhampiran Kampung Tampakan, hari ini.
Menurut laporan, mangsa yang dikenali sebagai Jayson itu ditemui berhampiran Kampung Tampakan sekitar jam 8 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.03 pagi, hari ini.
Katanya, kelibat mangsa yang ditemui itu dilaporkan sama dengan identiti bagi kes kehilangan orang di laut yang dilaporkan pada dua hari lalu.
“Rakan kepada mangsa terbabit turut mengesahkan identiti mayat tersebut dan sepasukan anggota serta pegawai terus dikerahkan bergegas ke lokasi penemuan.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mayat mangsa sebelu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.50 pagi.
Sebelumnya, pada 19 Mac lepas, kehilangan mangsa disedari oleh seorang rakannya ketika berada di sebuah kapal, di mana mangsa dipercayai terjatuh ke laut sebelum disedari oleh rakan-rakannya. – hmetro