spot_img
HomeSemasaLee Zii Jia dilarang wakil Malaysia selama dua tahun

Lee Zii Jia dilarang wakil Malaysia selama dua tahun

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk melarang Lee Zii Jia menyertai sebarang kejohanan antarabangsa di bawah bendera Malaysia selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari ini, berikutan tindakannya meninggalkan BAM.

Menurut Timbalan Presiden BAM, Jahaberdeen Mohamed Yunoos, selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya, Zii Jia sebenarnya telah mengemukakan tiga syarat baharu untuk meneruskan kerjayanya bersama BAM.

“Zii Jia mahukan jurulatih dan pasukan sokongan sendiri, rancang jadual pertandingan sendiri dan ingin mencari penaja sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Walau bagaimanapun, BAM menolak permintaan Zii Jia kerana kemahuannya dikatakan tidak realistik dan mustahil untuk dipenuhi.

Jelas beliau, BAM sebaliknya menawarkan Zii Jia beberapa insentif lumayan termasuk faedah kewangan sebagai mengiktiraf bakatnya. Malangnya, Zii Jia tidak mempertimbangkan keputusannya semula.

Jahaberdeen berkata, berdasarkan Fasal 7 kontrak, BAM boleh mengenakan hukuman sekiranya pemain mahu meninggalkan pusat latihan kebangsaan.

“Tidak ada istilah meletakkan jawatan daripada BAM. Pemain hanya boleh menarik diri dari pusat latihan kebangsaan dan pasti hukuman akan diambil jika berbuat demikian,” ujarnya.

Namun, jika pemain membuat rayuan, mereka mungkin dibenarkan bermain semula kerana masih ada peluang untuk berkhidmat kepada negara.

Mengulas lanjut, bekas jaguh perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap Zii Jia kerana dikhuatiri pemain lain akan mengikut tindakannya nanti.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku sehingga menjadi budaya,” katanya.

Sementara itu, Goh Jin Wei turut dikenakan hukuman yang sama selepas dia meletakkan jawatan atas alasan masalah kesihatan pada 11 September yang lalu. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular