KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang kian menapak nama dalam dunia sukan badminton perlu diberi peluang dan ruang dalam membuktikan kemampuan dirinya terutama selepas mengambil keputusan meninggalkan skuad kebangsaan untuk bergerak secara profesional pada Januari lalu.
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata masih terlalu awal untuk menilai ketahahan Lee Zii Jia sebagai pemain profesional. Pemain nombor tujuh dunia itu perlu diberi peluang dan berhentilah menilai kebolehannya berdasarkan kegagalan mempertahankan kejuaraan seluruh England, minggu lalu.
“Perjalanan dia masih jauh, biarpun kalah kali ini namun dia boleh belajar daripada kesilapan. Orang cakap dia adalah juara bertahan tetapi sebenarnya ramai pemain yang jadi juara bertahan pun boleh kalah juga. Ia bukan sesuatu yang mudah sebenarnya, apa yang paling penting adalah usahanya dan sikap tidak putus asa untuk memperoleh sebuah kejayaan. Ada banyak lagi kejohanan besar tahun ini termasuklah Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.
“Ini adalah permulaan kejohanan individu untuk dia bagi tahun ini. Saya percaya dia tahu apa yang dia mahukan dan perjuangkan kerana dia merupakan pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.”
“Saya tidak tahu apa perancangan dia sama ada mahu menjalani latihan di Dubai iaitu kem latihan bersama pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen atau apa tetapi jika banyak sokongan dari pelbagai pihak kepada dia, saya lihat ia boleh membantu dirinya untuk melangkah lebih jauh.”
“Kita tidak boleh cakap yang dia tidak melakukan persiapan terbaik di luar kerana saya percaya sebagai pemain profesional dia akan buat yang terbaik untuk diri dia sendiri,” jelas Lee Chong Wei.
Sabtu lalu, Lee Zii Jia gagal dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan Seluruh England yang dimenangi tahun lalu apabila tewas dalam perlawanan antara bintang meningkat naik dari India, Lakshysa Sen 13-21, 21-12, 19-21 dalam aksi separuh akhir kejohanan yang berlangsung di Birmingham.
Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya masih berpeluang menebus kekecewaan itu dengan beraksi dalam saingan Terbuka Korea yang bermula 5 hingga 10 April ini sebelum dijangka mengetuai cabaran skuad negara beraksi di Piala Thomas yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei.