spot_img
HomeSemasaKeunikan dan sejarah Muzium Sabah jadikan tarikan pelancong

Keunikan dan sejarah Muzium Sabah jadikan tarikan pelancong

Muzium Sabah merupakan salah satu tarikan pelancongan di negeri Sabah. Muzium ini terletak pada 17 hektar tanah di Bukti Istana Lama yang berada di Kota Kinabalu dan telah dibina sejak 15 Julai 1965 lagi.

Muzium Sabah adalah sebuah kompleks yang mengandungi taman etnobotani, zoo serta sebuah kampung warisan. Penubuhan Muzium ini sebahagian besarnya adalah hasil usaha masyarakat Sabah. Koleksi Woolley yang terkenal yang dikatakan membentuk koleksi asas muzium baru itu, adalah milik G.C. Woolley, iaitu pegawai eksekutif yang dilantik bagi pertubuhan yang dicadangkan.

Pegawai penyenggelara pertama Muzium Sabah ialah E.J. Berwick. Muzium ini juga telah berkembang dengan pesat sewaktu masih terletak di Jalan Gaya. Pembukaan rasmi Muzium Sabah, yang terletak di tapaknya sekarang telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 11 April 1984.

Pada tahun 1985, jawatan kurator ataupun pegawai penyenggelara muzium telah dinaik taraf kepada Pengarah Muzium Sabah dan sekarang, muzium ini berada di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri.

Menurut Monica Ceoffery selaku salah satu kakitangan Muzium Sabah, muzium ini telah dibuka secara pada 11 April 1981 sebelum dirasmikan. Ianya juga merupakan pusat khazanah yang dijadikan salah satu destinasi pelancongan di Sabah.

Foto – Mohamad Zahied Zamri

Mengikut sejarah awalnya, Muzium Sabah dahulunya telah ditubuhkan pada tahun 1965 pada rumah kedai di Gaya Street, Kota Kinabalu. Kini, muzium ini telah dijadikan pusat pelancongan yang boleh dikunjungi oleh pengunjung dengan bayaran sebanyak 2 Ringgit Malaysia bagi warganegara dan 15 Ringgit Malaysia bagi pelancong asing.

Puan Monica Ceoffery juga turut menekankan setiap kunjungan yang dilakukan perlulah dimulakan dengan pendaftaran terlebih dahulu. Setiap pengunjung dikehendaki mendaftar secara atas talian 2 hari sebelum mengunjung ke muzium tersebut.

Penubuhan muzium ini adalah untuk mengumpul dan memelihara semua bahan seni sejarah dari seluruh negeri sabah agar masyarakat Sabah sekarang ini dan yang akan datang dapat mengetahui sejarah, budaya dan sejarah sosial negeri Sabah.

Muzium Sabah yang terletak di Kota Kinabalu ini telah diiktiraf sebagai salah satu muzium paling unik di Malaysia. Bukan sahaja dipenuhi dengan artifak bersejarah yang berkaitan dengan negeri sabah, malah ianya juga turut mempunyai zoo mini yang mempamerkan pelbagai spesis haiwan yang telah pupus berserta contoh dan maklumat yang lengkap.

Foto – Mohamad Zahied Zamri
Foto – Mohamad Zahied Zamri

Bagi bahagian Kampung Warisan, ianya terletak diluar bangunan utama muzium tersebut. Kampung Warisan merupakan sebuah perkampungan yang mempamerkan kebudayaan masyarakat dan kaum di Sabah berserta dan taman herba dalam satu kompleks.

Pengunjung juga boleh melihat koleksi senjata, ukiran, binaan rumah panjang, alat muzik tradisional dan barangan seramik di dalam lawatan anda di kompleks seluas 43 ekar ini. Kampung ini mempunyai pelbagai perumahan yang unik seperti rumah panjang kaum Rungus, rumah tradisi kaum cina, dan banyak lagi.

Kini, Muzium Sabah telah menjadi salah satu pusat pelancongan yang menjadi tumpuan di Sabah. Pengunjung yang ingin melawat ataupun berkunjung bagi menyaksikan keindahan serta bukti-bukti dan koleksi sejarah dan budaya masyarakat Sabah dialu-alukan untuk mengunjungi muzium tersebut.

Penulis – Mohamad Zahied Zamri

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular