KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menunda cadangan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM 1 500 sebulan, menjelang hujung tahun ini.
Ketua Penerangan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Chin Soon Ho berkata, cadangan itu wajar ditunda selama dua tahun lagi, dalam usaha membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara ini, kembali pulih selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
“Kerajaan tidak seharusnya menjadikan keadaan lebih buruk kepada usahawan dan majikan selepas pandemik COVID-19 serta bencana banjir.
“Kerajaan mungkin percaya dengan tindakan meningkatkan gaji minimum akan memberikan manfaat kepada pekerja, tetapi realitinya usaha itu akan memberi kesan negatif kepada golongan yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi sekarang.
“Sekiranya pihak majikan tidak dapat menampung kos berkenaan, sudah pasti kos itu akan ditanggung oleh para pengguna, sehingga mengakibatkan satu lagi gelombang inflasi seterusnya melemahkan kuasa membeli dalam kalangan pekerja atau orang ramai.
Katanya, kesan pembayaran gaji minimun yang tinggi harus selari dengan pemerkasaan modal insan.
Bagaimanapun, Chin ada memberi tiga cadangan untuk menggantikan pelaksanaan gaji minimum.
Pertama, kerajaan harus mengembangkan indek harga pengguna termasuk perkhidmatan atas talian atau luar talian sebagai pendekatan komprehensif terhadap ekonomi, logistik serta penggunaan di peringkat negara, negeri dan daerah.
Katanya, inflasi dan rantaian bekalan adalah saling berkaitan, meningkatkan gaji minimum tidak akan mencapai objektif bagi meningkatkan kuasa beli disebabkan peningkatan inflasi.
Kedua, Chin mencadangkan kerajaan perlu memilih 10 wilayah, negeri atau daerah untuk melaksanakan gaji minimum berdasarkan cadangan pertama dan menilai petanda ekonomi yang mendapat kesan daripada usaha itu secara suku tahun.
Katanya, kawasan yang tidak menunjukkan petanda ekonomi yang sihat akan diberikan ruang sebagai persediaan pelaksanaan gaji minimum.
“Usaha ini akan membolehkan perniagaan kekal beroperasi dengan mewujudkan gaji minimum baharu yang lebih berdaya saing dan struktur ekonomi yang kukuh, selain mengelakkan daripada kejatuhan ekonomi serta menyebabkan pembuangan pekerja beramai-ramai disebabkan pembayaran gaji tinggi.
Ketiga, Chin mencadangkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) perlu menyediakan latihan bagi memperkasakan modal insan dalam wilayah, negeri dan daerah di mana gaji minimum dilaksanakan.
“HRDF perlu sentiasa mempromosikan kesan ekonomi positif dan pengecualian cukai dalam penyediaan kursus latihan yang akhirnya membolehkan negara ini mengkaji semula gaji minimum, pada masa yang sama meningkatkan ekonomi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Saravanan Murugan telah membuat kenyataan, mahu gaji minimum dikaji semula.
Susulan itu, Chin memberi maklum balas.
Chin berpendapat cadangan itu dilakukan tanpa membuat sebarang pertimbangan terhadap kesan negatif daripada pelaksanaan berkenaan.
“Kerajaan tidak seharusnya menjadikan keadaan lebih buruk kepada usahawan dan majikan selepas pandemik COVID-19 serta bencana banjir,” katanya – Utusan Borneo