KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan komited meneruskan usaha menyelesaikan isu tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) di Sabah dengan memperkukuh pelaksanaan Program Perkhidmatan Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata kerajaan mengambil maklum masih terdapat kawasan tanah NCR di Sabah yang belum selesai diukur dan diproses.
Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk keluasan kawasan pedalaman, bentuk muka bumi yang mencabar, pertindihan tuntutan hak milik, keperluan pengesahan tuntutan oleh kerajaan negeri serta proses perundangan yang perlu dipatuhi.
“Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi memastikan pelaksanaan Program PANTAS dapat diteruskan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kerajaan kekal komited menyelesaikan isu tanah NCR di Sabah dan atas dasar itu, peruntukan bagi program pengukuran tanah NCR diteruskan di bawah RMK-13.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan momentum pelaksanaan Program PANTAS dapat dikekalkan, sekali gus mempercepatkan penyelesaian baki tanah NCR yang masih belum mempunyai hak milik.
Mustapha berkata, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan lebih ramai rakyat Sabah memperoleh kepastian pemilikan tanah secara sah, sekali gus menjamin kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.


