KOTA KINABALU: Keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri dijangka bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya telah memohon daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan pilihan raya itu.
Walau bagaimanapun, keputusan itu masih bergantung kepada laporan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut status kes COVID-19 semasa.
“Saya yakin, Insya-Allah dalam seminggu dua ini, kita akan mengetahui keputusan PRK diadakan,” katanya Ketika ditanya oleh pemberita di Menara Kinabalu, hari ini.
Sebelum ini, Kerusi DUN Bugaya disytiharkan kosong selepas penyandangnya Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan (Warisan) disahkan meninggal dunia pada 17 November 2020. Bagaimanapun PRK telah ditangguhkan selepas pengisytiharan darurat berikutan penularan pandemik COVID-19.
Mengulas berkenaan desakan untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan, Bung berkata perkara itu sama sekali tidak memberikan sebarang impak kepada mana-mana pihak.
“Perkara ini akan dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin GRS berhubung intipati dan penyelarasan selepas ia didaftarkan nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Utusan Borneo


