spot_img
HomePolitik‘KELUARGA MALAYSIA’ – Sentuhan Pertama PM-9

‘KELUARGA MALAYSIA’ – Sentuhan Pertama PM-9

Minggu lepas, saya mendengar dengan tekun ucapan pertama YAB Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9. Melihat gaya beliau yang sedang berucap di puncak kuasa, beliau nampak ‘humble’ dan rendah diri. Tutur bicara sangat tenang, tidak nampak terdesak mendapatkan kuasa atau bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

Takdir Allah Taala, telah tertulis beliau memikul amanah ketua eksekutif yang mungkin tidak pernah dijangka sesiapa. Demikian juga Tan Sri Muhyiddin sebelum ini, diangkat menjadi Perdana Menteri ketika namanya tidak dicalonkan pada peringkat awal. Ada mereka yang merancang bertahun-tahun mendapatkan jawatan tersebut, namun belum berjaya hingga hari ini. Kenapa dan mengapa, pasti ada hikmahnya.

Perkara paling penting dalam ucapan perdana menteri adalah beliau telah memperkenalkan suatu gagasan atau identiti baru yang merupakan titik temu kita semua iaitu Keluarga Malaysia. Setiap pemimpin akan membawa suatu slogan yang akan menjadi ‘branding’ dalam pentadbiran dan kepimpinan mereka. Sebagai contoh, Donald Trump yang terkenal dengan slogan populis ‘Make America Great Again’, Dato’ Sri Najib dengan ‘Satu Malaysia’ dan pemimpin Korea Utara dengan falsafah ‘Juche’ serta ramai lagi.

Sebelum saya terlupa, tema kepimpinan keluarga ini pernah diperkenalkan oleh Dinasti Ayutthaya (Dinasti Raja Siam 1350-1767M) dengan falsafah Raja adalah Ayahanda kepada anak-anak (leadership is fatherness). Namun, apabila Dinasti Chakri mengambil alih, mereka menukar bahawa Raja adalah dewa. Mereka di dewakan sampai menghadap muka pun tidak dibenarkan. Penat, sujud memanjang.

Bukan itu sahaja, Dato’ Sri juga memanggil rakyat malaysia dengan panggilan ‘keluarga yang dikasihi’. Antara ucapan beliau, “Wahai seluruh keluarga malaysia yang dikasihi, kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti ahli keluarga saya sendiri sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkap, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan”. Walaupun beliau tidak menyebut beliau adalah seperti seorang ayah, bait-bait ucapan beliau menuju ke arah maksud itu secara tersirat. Mungkin menurut beliau, kita sudah mulakan, bertenang dan pengiktirafan kebapaan itu akan datang dari rakyat sendiri dengan ikhlas.

Komitmen kepada tema kekeluargaan Malaysia diteruskan dengan mesej kebersamaan apabila Dato’ Sri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19. Kita semua satu keluarga, ibarat adik beradik yang tidak lari dari bermasam muka. Namun demi sebuah keluarga besar, Pak Long Anwar, Pak Ngah Mat, Pak Anjang Zul, Pak Lang Lim, Pak Teh Led, Makucu Izzah atau nama keluarga lain duduk semeja bincang – bincang menyelesaikan krisis yang melanda keluarga. Nama keluarga itu contoh sahaja, tiada kaitan dengan mana- mana orang masih hidup. Ini sejajar dengan kehendak Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan ketua-ketua parti baru-baru ini.

Saya menyambut baik mesej kekeluargaan dan kebersamaan oleh Dato’ Sri. Seperti sebelum ini, saya tidak mengharapkan kesempurnaan dari ahli politik. Gelanggang mereka berbeza dengan dunia rakyat. Kita melihat dari kaki bukit, mereka memandang dari atas bukit. Dalam ‘real politik’, kita faham Perdana Menteri yang juga seorang ahli politik mesti menjaga banyak kepentingan. Tiada benda percuma dalam sokongan politik, oleh itu, banyak juga ‘playcard’ mesti dicaturkan. Namun, apa yang paling penting, kemelut sesama politikus jangan lah sampai berlaku ketidakstabilan dan terlalu terbuka.

Rakyat sudah penat tengok movie di youtube dan netflix sepanjang wabak ini, nak dipaksa tonton lagi drama sengketa politik di Malaysia. Fokus selesaikan dua isu besar sekarang iaitu kesihatan dan ekonomi. Kemudian, ‘pakcik-pakcik nak bersengketa balik, itu hal pakcik – pakcik la ye. Pakcik semua sudah masyuk’, kami anak-anak saudara ini nak teruskan hidup dan cari makan.  Semoga Dato’ Sri dapat jalan amanah dengan jayanya dan semoga pembangkang sudi kerjasama demi Malaysia dan menyambut tawaran kerana menjunjung titah Para Duli Tuanku.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular