spot_img
HomeSemasaJPNIN Lahad Datu hargai petugas barisan hadapan

JPNIN Lahad Datu hargai petugas barisan hadapan

LAHAD DATU: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Lahad Datu mengadakan program khas bagi menghargai petugas barisan hadapan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini, kelmarin.

Pegawai Perpaduan Daerah Lahad Datu, Nurfa Izah Mohamad berkata program itu sebagai penghargaan kepada barisan hadapan yang bertugas menangani pandemik COVID-19      di daerah ini.

“Kita sedia maklum, sudah hampir dua tahun petugas KKM menjadi pasukan barisan hadapan dan terlibat secara langsung dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Justeru, JPNIN Lahad Datu mengambil kesempatan mengadakan program tersebut dan memberikan sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan dan kad penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Perdana, di sini semalam.

Menurutnya, program penghargaan itu juga merupakan salah satu aktiviti yang dibuat sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat JPNIN Lahad Datu.

“Sumbangan berbentuk pelitup muka dan cecair sanitasi kepada petugas KKM itu diharap dapat meringankan beban kerajaan dalam usaha mengekang pandemik COVID-19 di daerah ini,” katanya.

Terdahulu, program tersebut turut melibatkan kerjasama Rukun Tetangga (RT) Taman Aman Jaya, Kampung (Kg) Tabanak dan Kg. Puyut.

Katanya, pengerusi RT yang terlibat  telah memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut terutamanya menyampaikan kad ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

“Antara yang diberikan kad pengharagaan termasuklah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, Hospital, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Kesihatan Daerah Lahad Datu dan para sukarelawan.

“Saya sangat berterima kasih kepada RT yang terlibat kerana turut sama menjayakan program tersebut dan dapat menyediakan barangan untuk disumbangkan kepada petugas KKM,” katanya.

Nurfa yakin dengan adanya  aktiviti tersebut dapat membentuk masyarakat yang sentiasa bersatu padu, membentuk jati diri dan mempunyai sifat menghargai perjuangan kemerdekaan negara.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Lahad Datu, Dr. Amirul Hisham Zainol  merakamkan terima kasih di atas ucapan penghargaan dan sumbangan yang diberikan oleh pihak penganjur khasnya JPNIN.

“Kami yakin sumbangan tersebut dapat membantu kakitangan KKM dalam menjalankan tugas terutamanya menangani masalah pandemik COVID-19.

“Kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat di daerah ini sangat diperlukan supaya penularan wabak dapat diputuskan dengan segera dan kita boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular