spot_img
HomeSemasaJemaah umrah cetus kluster baharu di Sabah

Jemaah umrah cetus kluster baharu di Sabah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang baru pulang daripada menunaikan ibadah umrah disahkan positif COVID-19 dan mencetuskan satu lagi kluster baharu di Sabah iaitu Kluster Millenium Saudi, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang dikenal pasti di daerah Sandakan itu dikategorikan sebagai kluster import.

Menurut Masidi, kes indeks seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dengan sejarah perjalanan menunaikan umrah bermula 4 hingga 15 Disember lalu di Arab Saudi.

“Kes indeks yang menjalani saringan sebelum melakukan perjalanan didapati negatif. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kes indeks menjalani saringan dan terus ke Sandakan serta menjalani kuarantin wajib di rumah.

“Bagaimanapun, lelaki ini dikesan positif COVID-19 menerusi keputusan RT-PCR pada 17 Disember lalu.

“Saringan yang dijalankan terhadap 57 kontak rapat telah mendapati sebanyak 10 lagi kes positif terdiri ahli rombongan umrah bersama kontak rapat yang lain, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 11 kes,” katanya dalam kenyataan media.

Susulan itu, Masidi berkata, jumlah kes harian COVID-19 di Sabah kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

“Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 semalam mencatatkan sebanyak 202 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 239,026 kes.

“Sebanyak dua kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu kes di Sandakan dan Sipitang,” katanya. – Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular