spot_img
HomeSemasaJaffari Waliam terus bantu institusi tahfiz

Jaffari Waliam terus bantu institusi tahfiz

SANDAKAN: Maahad Tahfiz Darul Hasanah (MTDH) menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Jaffari Waliam untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur bagi kegunaan harian pusat pengajian itu.

Sumbangan tersebut mampu meringankan beban operasi pusat tahfiz berkenaan terutama dalam memastikan kelangsungan penyediaan makanan kepada para pelajar yang menuntut ilmu agama di situ.

Jaffari yang juga Pengerusi Innoprise Capital Sdn Bhd bukan sekadar hadir untuk menyampaikan bantuan, malah beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pihak pengurusan tahfiz, menyelami keperluan serta berkongsi pandangan demi memperkukuh pembangunan institusi tersebut.

Jaffari (kanan) berkata sesuatu kepada Penolong Kanan HEM SMIDAH, Mohd Hazeq Yahya ketika mengunjungi MTDH hari ini.

Pihak MTDH turut menzahirkan penghargaan kepada Jaffari atas sumbangan yang diberikan.

“Jazakallahu Khairan Kathira diucapkan kepada YB Datuk atas sumbangan ini.

“Kami mendoakan semoga YB Datuk seisi keluarga dan seluruh pasukan sentiasa dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,” ujar wakil tahfiz.

Kunjungan tersebut, mengukuhkan lagi reputasiJaffari sebagai pemimpin yang bukan sahaja menabur khidmat dalam arena politik, tetapi benar-benar memahami denyut nadi rakyat dan meletakkan kebajikan masyarakat sebagai keutamaan.

Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat, sentiasa aktif menyantuni masyarakat bukan sahaja di kawasan tertentu, malah di hampir seluruh Sabah.

Malah, gerak kerja kebajikan yang beliau jalankan bukan bersifat bermusim, sebaliknya konsisten dan menyeluruh, mencakupi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan memerlukan, warga emas, anak yatim dan komuniti luar bandar.

Sifat ramah, mudah didekati serta kesungguhan memahami permasalahan rakyat menjadikan beliau disenangi oleh semua pihak. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular