SANDAKAN: Suasana penuh harmoni mewarnai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Jaffari Waliam meluangkan masa seharian bersama masyarakat setempat melalui pelbagai program berbentuk kerohanian, kebajikan dan kesukanan.
Seawal jam 7 pagi beliau menyertai perarakan Maulidur Rasul di Kampung Sinar Hatapan Baru, Batu 24 yang disertai penduduk kampung dan sekitarnya.

Menerusi perkongsian ringkas Jaffari mengingatkan umat Islam agar meneladani perjuangan Rasulullah SAW dengan menjiwai semangat pengorbanan dan memperkukuh perpaduan ummah.
“Maulidur Rasul bukan sekadar perarakan tetapi penghayatan kepada nilai perjuangan Baginda yang kita perlu terjemahkan dalam kehidupan seharian, saling membantu, mengasihi dan bersatu,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Surau Al Firdaus, Yusuf Syukur dan Ustaz Mohd Nurzilan bersama pelajar Sekolah Tahfiz Imam Gazali, Batu 25.
Beliau turut mengagihan bantuan makanan kepada anak yatim, ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU) di kawasan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan rentan.
Petang hari sama, Jaffari meneruskan penyerahan bantuan khas berupa kepingan zink, plywood dan bakul makanan di Balai Raya Kampung Ulu Dusun, Batu 30.

Katanya, bantuan ini diyakini mampu meringankan beban rakyat dalam membaiki kediaman serta mengurangkan kos sara hidup.
Seterusnya, satu perlawanan persahabatan bola sepak veteran diadakan antara pasukan Pusat Khidmat ADUN Gum Gum, kakitangan RTM dan Polis Cawangan Khas bersama penduduk kampung.
Pertandingan santai itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah mengeratkan hubungan mesra antara pemimpin, agensi dan rakyat.

Menurut Jaffari, pendekatan turun padang dan melibatkan diri secara langsung dengan masyarakat merupakan keutamaan beliau sebagai wakil rakyat.
“Rakyat mahu lihat wakil mereka dekat dengan mereka.
“Kehadiran kita bukan sekadar mengagihkan sumbangan atau beraktiviti bersama, tapi benar-benar bersama mereka dalam keadaan apa sekalipun,” jelasnya.
Program seharian itu mendapat sambutan daripada masyarakat setempat yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan usaha berterusan wakil rakyat dalam membawa mesej kebersamaan serta menjaga kebajikan rakyat. — DEMI SABAH