spot_img
HomeSemasaJabatan Pendidikan Sabah aktifkan Ops Payung SPM 2021

Jabatan Pendidikan Sabah aktifkan Ops Payung SPM 2021

TUARAN: Jabatan Pendidikan Sabah mengaktifkan Ops Payung sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana alam termasuk banjir, semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bermula 2 Mac hingga 29 Mac.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, hal ini bagi memastikan peperiksaan awam berjalan lancar dan semua calon SPM dapat menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

“Kami telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengedarkannya kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah, berikutan keadaan cuaca tidak menentu terutama hujan lebat berterusan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, semua pegawai pendidikan daerah diarah mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah agar langkah tersebut boleh dilaksanakan segera apabila diperlukan.

Dalam pada itu, sebanyak 315 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negeri bagi 39,250 calon SPM berdaftar di Sabah yang akan menduduki peperiksaan awam itu.

“Bagi membendung penularan COVID-19 di pusat peperiksaan, pihak kami telah menyediakan bilik khas untuk menempatkan pelajar yang didapati bergejala sebelum dihantar menjalani rawatan,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya juga mewujudkan bilik gerakan peperiksaan di semua daerah, bertujuan memberi laporan harian mengenai kehadiran calon pada setiap sesi peperiksaan.

“Laporan kehadiran calon melalui e-Kehadiran akan diterima pada pukul 4 petang setiap hari. Kemudian, laporan itu akan dianalisis untuk mengetahui jumlah calon yang menjalani kuarantin atau berada di hospital,” tambahnya lagi.

Sekiranya calon SPM disahkan positif COVID-19 dan tidak dapat menghadiri peperiksaan boleh membuat permohonan menduduki peperiksaan awam sidang kedua dijadual April ini. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular