spot_img
HomeSemasaInsentif pengecualian LKM, kenderaan elektrik dan OKU

Insentif pengecualian LKM, kenderaan elektrik dan OKU

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya untuk kenderaan motor elektrik (EV) dan juga kenderaan motor untuk orang kurang upaya (OKU).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kenderaan motor elektrik menikmati pengecualian itu bermula pada 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

“Pengecualian Fi LKM hanya diberikan kepada kenderaan EV sama ada dikuasakan oleh bateri atau ‘fuel cell’ (sel bahan api) dan akan bermula pada 15 Februari 2022,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi pengecualian itu tidak diberikan kepada kenderaan hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol atau diesel.

Berkenaan kenderaan motor milik OKU pula, Ka Siong berkata, pengecualian Fi LKM hanya akan disahkan kepada kenderaan motor yang telah diubah suai khas untuk kegunaan OKU dan bagi motor yang tidak diubah suai, pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional.

Dengan itu, kenderaan hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU yang berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, pengecualian juga diberikan kepada kenderaan motor yang didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga berdaftar yang mempunyai ahli keluarga OKU dengan syarat individu terbabit juga telah berdaftar dengan JKM.

Permohonan bagi pengecualian ini akan bermula pada 15 Mac 2022 dan semua pemilik kenderaan yang layak dengan pengecualian berkenaan serta memiliki lesen kenderaan motor sama ada baharu atau diperbaharui selepas 1 Jan 2022, iaitu sebelum tarikh permohonan bagi kedua-dua pengecualian itu dimulakan, boleh menyerahkan semula LKM mereka ke kaunter JPJ dan berhak dibayar dengan rebat.

Pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir dan menyerahkan balik LKM tersebut dan berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana ditetapkan. Seterusnya, pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM semula ke atas kenderaan mereka.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022 Oktober tahun lepas, mengumumkan bahawa kerajaan akan membayar sepenuhnya LKM bagi semua kenderaan persendirian milik OKU.

EV juga mendapat rangsangan daripada pelbagai pengecualian menerusi Belanjawan 2022 termasuk pengecualian penuh duti import, duti eksais, cukai jualan dan 100 peratus pengecualian cukai jalan.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular